Budaya Alumni = Budaya Berkasih Sayang + Persahabatan Sejati Selamanya

Budaya alumni adalah sebahagian daripada budaya yang penting di dalam perkembangan sesebuah masyarakat. Ia sewajar menjadi kayu ukur kepada tahap penglibatan sosial anggota masyarakat dalam sesebuah tamadun. Masyarakat melalui badan-badan sivil atau organisasi madani menjadi 'kuasa ketiga' setelah swasta (kuasa kedua) dan kerajaan (kuasa pertama) yang mencorak perkembangan budaya masyarakat. Ketinggian sesebuah masyarakat terletak sejauh mana agenda memasyarakatkan budaya Ilmu di hayati oleh setiap anggota masyarakat. Penyelidikan, budaya membaca serta wacana-wacana ilmu mendarah daging dalam kehidupan harian. Kesannya, mereka akan lebih menghormati hak orang lain, mengalakkan perbincangan idea yang kreatif dan sebagainya. Natijahnya, negara semakin maju.

Di dunia barat, budaya alumni cukup gah dan berkembang pesat di pusat-pusat pengajian tinggi terutama di universiti-universiti ternama. Para bekas pelajar diberikan ruang yang luas oleh pihak pengurusan universiti, membantu adik-adik untuk membina jati diri, keilmuan serta menyediakan jaringan sosial agar kerjaya mereka berkembang dengan bantuan abang-abang yang ada di industri. Malah kejayaan abang-abang mereka di industri dijadikan pembakar semangat bagi adik-adik yang masih belajar untuk mencapai kejayaan dalam pengajian masing.-masing. Hasilnya, kita menyaksikan pelbagai bentuk geran penyelidikan, biasiswa serta kemudahan lain disediakan oleh para alumni. Rumah Alumni di universiti masing-masing sering dijadikan medan perjumpaan dan perkongsian pengalaman sama ada sesama bekas pelajar atau antara bekas pelajar dengan mereka yang masih belajar.

Di negara ini pula, kita dapat lihat bagaimana, pendidikan aliran cina cukup berdikari dalam memastikan keperluan meningkatkan kualiti pendidikan dipenuhi. Acap kali, kita melihat, Lembaga Pengelola, pentadbiran sekolah, bekas pelajar serta anggota masyarakat saling bekerjasama rapat dalam usaha mengumpul dana demi pembangunan sekolah dan sebagainya.

Mentaliti berdikari ini amat berkait rapat dengan asal usul sejarah bagaimana keturunan mereka datang ke tanah air ini. Sejarah kehidupan lampau yang perit, serba kekurangan serta tiada tempat bergantung, menyebabkan mereka saling memerlukan dalam banyak hal. Ini jelas kita dapat lihat dengan wujudnya pelbagai persatuan-persatuan sosial yang mewakili kaum mereka seperti persatuan hokkiean dan sebagainya. Kini, kita melihat kebanyakkan syarikat-syarikat korporat dalam pelbagai industri dikuasai mereka. Ia sekali gus membolehkan mampu menyumbang dana yang diperlukan untuk meningkatkan martabat pendidikan cina sama ada sekolah rendah, menengah mahpun pengajian tinggi.

Persoalanya, adakah SMKAS yang baru menubuhkan gerakan alumninya setelah hampir 25 tahun sekolah wujud, punya harapan menyumbang sesuatu yang bermakna. Ya, sudah pasti. Ini kerana Islam adalah unsur utama yang mencorakkan pemikiran, budaya serta interaksi sosial masyarakat majmuk di negara ini. Islam sebagai sebagai agama rasmi dinyatakan secara jelas di dalam perlembagaan negara. Dana-dana diwujudkan kerajaan untuk memperkasa agenda pembangunan umat Islam dalam pelbagai sudut sama ada ekonomi, sosial, politik termasuk pendidikan.

Maka, SMKA Segamat sebagai institusi pendidikan nasional SMKA aliran Islam yang diwujudkan sejak tahun 1977 melalui Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) wajar disokong bukan sahaja melalui usaha-usaha Persatuan Ibu-Bapa & Guru (PIBG) tetapi juga melalui persatuan bekas-bekas pelajarnya atau ALUMNI. Bekas-bekas pelajar boleh menyumbang dengan kekuatan diri yang tersendiri. Wilayah pengaruh masing-masing boleh digunakan untuk membantu adik-adik yang masih bersekolah dari pelbagai sudut dana, motivasi, ilmu, jaringan sosial serta pembangunan diri.

Apa pun, agenda alumni boleh berupaya digerakkan setelah unsur utama dipupuk dan disemai dalam setiap program melibatkan sesama ahli. Budaya alumni perlu mewujudkan rasa kasih dan sayang sesama sahabat alumni tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun lepasan batch mana. Pemupukan rasa ini, perlu disegerakan dan boleh diterjemahkan dalam pelbagai program yang dirasakan sesuai. Rasa kasih sayang atas persahabatan sejati dipasakkan dengan agenda perjuangan murni membantu sekolah yang disepakati akan memudahkan usaha menbantu sekolah. Yang pasti, ini adalah elemen dalaman budaya alumni yang perlu ada. Jika ini ada, kita akan mewujudkan saling hormat-menghormati atas kekuatan yang pelbagai serta sedia untuk bersama-sama demi sekolah.

Sekali lagi, tahniah buat sahabat-sahabat sekalian yang telah terpilih memikul amanah perjuangan gerakan alumni sekolah yang telah tertangguh sekian lama. Kalian adalah insan yang terpilih!. Sejarah membuktikan arus perubahan akan digerakkan oleh sekompok manusia yang sedikit tetapi faham akan erti perjuangan. Perjuangan baru bermula!. Jom kita berusaha sama-sama...

Comments

Popular posts from this blog

Dilema Siswazah Masa Kini? : Pengangguran! Jalan Keluar?

Isu, Cabaran dan Masa Depan Graduan Psikologi Dalam Mendepani Cabaran Masyarakat Yang Kompleks

Pusat Kerjaya IPT perlu diperkasa, berikan lonjak baru, impak bermakna