Tuesday, May 19, 2009

Dinamika Gerakan Belia : Proses Evaluasi & Impak Maksima Perlu Diutamakan


Gerakan belia adalah sebahagian daripada masyarakat madani atau sivil di negara ini. Mereka seringkali dilihat tegas di dalam memperjuangkan nilai-nilai kebaikan, memperkukuh kesejahteraan dan memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Kualiti dan potensi anak muda dibangunkan sebaik mungkin. Kemahiran, pertanian, bisnes, keorganisasi sosial termasuk menjana budaya kesukarelaan antara sebahagian daripada pelbagai fokus gerakan ini.

Namun, cabaran globalisasi sering kali memesongkan akal fikiran dan jiwa nurani golongan ini. Idea mementingkan diri sendiri, keseronokan tanpa batasan nilai agama atau panduan sering menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Gejala sosial meningkat, seiring dengan pemodenan negara melalui partisipasi industri.

Pada masa yang sama, ada kelompok anak muda yang terus komited terhadap idealisme perjuangan belia di negara ini. Golongan minoriti berusaha untuk menjadi majoriti dan memberikan impak maksima kepada landskap negara. Masih belum jemu-jemu dan putus asa. Itulah makna suatu keyakinan terhadap masa hadapan a.k.a JIWA BESAR. Mereka terbina dan dipasak dengan budaya ilmu yang tinggi serta penghayatan rohaniah ikhlas. Sungguh luarbiasa, tulus dan konsisten.

Walaupun begitu, tatkala, meneliti berita tentang Sambutan Hari Belia Negara 2009 pada 15 Mei 2009 di Dewan Pameran, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka di portal Majlis Belia Malaysia (MBM), sesuatu yang lebih menyakinkan perlu dilakukan. Pemikiran 'out of the box' , kreatif dan inovatif perlu diterapkan di dalam menjayakan agenda gerakan belia sekarang dan akan datang. Program gerakan belia perlu mencakupi aspek advokasi polisi yang lebih menyeluruh, khidmat bakti yang mengerakkan perubahan budaya lokaliti serta kewangan mandiri.

Maka, teruslah kita berusaha menjana harapan baru melalui gerakan belia untuk nusa dan bangsa agar terbina tamadun khayra ummah. "Satu Suara, Satu Komuniti" yang sering berkumandang di radio, terlihat di tv, media siber dan lain-lain perlu proses evaluasi dan pencerahan minda di kalangan pemimpin gerakan belia agar terus relevan pada masa akan datang.