Sunday, November 13, 2011

Budaya Alumni = Budaya Berkasih Sayang + Persahabatan Sejati Selamanya

Budaya alumni adalah sebahagian daripada budaya yang penting di dalam perkembangan sesebuah masyarakat. Ia sewajar menjadi kayu ukur kepada tahap penglibatan sosial anggota masyarakat dalam sesebuah tamadun. Masyarakat melalui badan-badan sivil atau organisasi madani menjadi 'kuasa ketiga' setelah swasta (kuasa kedua) dan kerajaan (kuasa pertama) yang mencorak perkembangan budaya masyarakat. Ketinggian sesebuah masyarakat terletak sejauh mana agenda memasyarakatkan budaya Ilmu di hayati oleh setiap anggota masyarakat. Penyelidikan, budaya membaca serta wacana-wacana ilmu mendarah daging dalam kehidupan harian. Kesannya, mereka akan lebih menghormati hak orang lain, mengalakkan perbincangan idea yang kreatif dan sebagainya. Natijahnya, negara semakin maju.

Di dunia barat, budaya alumni cukup gah dan berkembang pesat di pusat-pusat pengajian tinggi terutama di universiti-universiti ternama. Para bekas pelajar diberikan ruang yang luas oleh pihak pengurusan universiti, membantu adik-adik untuk membina jati diri, keilmuan serta menyediakan jaringan sosial agar kerjaya mereka berkembang dengan bantuan abang-abang yang ada di industri. Malah kejayaan abang-abang mereka di industri dijadikan pembakar semangat bagi adik-adik yang masih belajar untuk mencapai kejayaan dalam pengajian masing.-masing. Hasilnya, kita menyaksikan pelbagai bentuk geran penyelidikan, biasiswa serta kemudahan lain disediakan oleh para alumni. Rumah Alumni di universiti masing-masing sering dijadikan medan perjumpaan dan perkongsian pengalaman sama ada sesama bekas pelajar atau antara bekas pelajar dengan mereka yang masih belajar.

Di negara ini pula, kita dapat lihat bagaimana, pendidikan aliran cina cukup berdikari dalam memastikan keperluan meningkatkan kualiti pendidikan dipenuhi. Acap kali, kita melihat, Lembaga Pengelola, pentadbiran sekolah, bekas pelajar serta anggota masyarakat saling bekerjasama rapat dalam usaha mengumpul dana demi pembangunan sekolah dan sebagainya.

Mentaliti berdikari ini amat berkait rapat dengan asal usul sejarah bagaimana keturunan mereka datang ke tanah air ini. Sejarah kehidupan lampau yang perit, serba kekurangan serta tiada tempat bergantung, menyebabkan mereka saling memerlukan dalam banyak hal. Ini jelas kita dapat lihat dengan wujudnya pelbagai persatuan-persatuan sosial yang mewakili kaum mereka seperti persatuan hokkiean dan sebagainya. Kini, kita melihat kebanyakkan syarikat-syarikat korporat dalam pelbagai industri dikuasai mereka. Ia sekali gus membolehkan mampu menyumbang dana yang diperlukan untuk meningkatkan martabat pendidikan cina sama ada sekolah rendah, menengah mahpun pengajian tinggi.

Persoalanya, adakah SMKAS yang baru menubuhkan gerakan alumninya setelah hampir 25 tahun sekolah wujud, punya harapan menyumbang sesuatu yang bermakna. Ya, sudah pasti. Ini kerana Islam adalah unsur utama yang mencorakkan pemikiran, budaya serta interaksi sosial masyarakat majmuk di negara ini. Islam sebagai sebagai agama rasmi dinyatakan secara jelas di dalam perlembagaan negara. Dana-dana diwujudkan kerajaan untuk memperkasa agenda pembangunan umat Islam dalam pelbagai sudut sama ada ekonomi, sosial, politik termasuk pendidikan.

Maka, SMKA Segamat sebagai institusi pendidikan nasional SMKA aliran Islam yang diwujudkan sejak tahun 1977 melalui Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) wajar disokong bukan sahaja melalui usaha-usaha Persatuan Ibu-Bapa & Guru (PIBG) tetapi juga melalui persatuan bekas-bekas pelajarnya atau ALUMNI. Bekas-bekas pelajar boleh menyumbang dengan kekuatan diri yang tersendiri. Wilayah pengaruh masing-masing boleh digunakan untuk membantu adik-adik yang masih bersekolah dari pelbagai sudut dana, motivasi, ilmu, jaringan sosial serta pembangunan diri.

Apa pun, agenda alumni boleh berupaya digerakkan setelah unsur utama dipupuk dan disemai dalam setiap program melibatkan sesama ahli. Budaya alumni perlu mewujudkan rasa kasih dan sayang sesama sahabat alumni tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun lepasan batch mana. Pemupukan rasa ini, perlu disegerakan dan boleh diterjemahkan dalam pelbagai program yang dirasakan sesuai. Rasa kasih sayang atas persahabatan sejati dipasakkan dengan agenda perjuangan murni membantu sekolah yang disepakati akan memudahkan usaha menbantu sekolah. Yang pasti, ini adalah elemen dalaman budaya alumni yang perlu ada. Jika ini ada, kita akan mewujudkan saling hormat-menghormati atas kekuatan yang pelbagai serta sedia untuk bersama-sama demi sekolah.

Sekali lagi, tahniah buat sahabat-sahabat sekalian yang telah terpilih memikul amanah perjuangan gerakan alumni sekolah yang telah tertangguh sekian lama. Kalian adalah insan yang terpilih!. Sejarah membuktikan arus perubahan akan digerakkan oleh sekompok manusia yang sedikit tetapi faham akan erti perjuangan. Perjuangan baru bermula!. Jom kita berusaha sama-sama...

Sunday, June 19, 2011

Idea Perubahan yang wajar digerakkan

Idea perubahan wajar digerakkan setelah mengikuti program Bicara Anak Muda 2 pada 19 Jun 2011, 9pagi di Bilik Seminar, Kolej Dar Hikmah, Sg. Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Para panel jemputan yang terdiri daripada Sdr Wan Saiful Wan Jan, IDEAS, Sdr Jef Hazimin, Karyawan Muda dan Sdri Fadiah Najwa Fikri, Lawyers For Liberty telah memberikan input yang bernas, merangsang minda serta dinamik. Isu-isu yang melingkari anak muda seperti demokrasi, hak asasi, ekonomi serta budaya difahami dengan lebih mendalam. Apa yang pasti, ia membuka pintu minda untuk terus berusaha memahami fenomena masyarakat. Semoga ia membantu usaha-usaha mewujudkan masyarakat mandiri dan sedia untuk bertindak berasaskan keyakinan yang jelas dan landasan kebenaran dan keadilan.

Yang pasti, kelompok organisasi masyarakat madani/sivil perlu terus berusaha mendidik masyarakat agar lebih sedar tentang hak asasi dan bagaimana perlu bertindak berdasarkan norma-norma masyarakat yang menjunjung nilai murni. Kreativiti dan inovasi pendekatan perlu diaplikasikan di dalam usaha mengupaya kelompok sasaran terutama anak muda. Anak muda perlu bangkit dengan kefahaman, kejituan usaha serta ketabahan hati untuk menjayakan agenda

Masih teringat isi-isi penting buku yang diwacanakan semasa di alam kampus suatu ketika dahulu. Buku 'Gelombang Kebangkitan ASIA' tulisan Dato Seri Anwar Ibrahim yang menekankan tentang idea ekonomi yang manusiawi, keluhuran perlembangan, kedaulatan undang-undang dan pentingnya memahami jamakbudaya serta keadilan sosial yang menjunjung kemuliaan insan. Ia adalah sebahagian daripada kerangka besar masyarakat madani yang pernah popular dulu. Kini kefahaman ide masyarakat madani wajar dikembangkan yang menekankan dimensi tindakan. Jika tidak sekarang, bila lagi...

Saturday, August 14, 2010

Ibu Bapa Tinggal di Pusat Jagaan bukan di rumah?

Tatkala meneliti muka hadapan surat khabar kosmo hari ini bertarikh 14 ogos 2010, ia benar-benar mengusik jiwa dan mengerakkan minda ini untuk spontan memberikan pandangan. Ia isu yang serius dan memerlukan usaha-usaha bersama menanganinya. Kajian yang dijalankan oleh Institusi Kajian Sosial, UPM menunjukkan bahawa, ibu bapa kini dilihat sebagai beban kewangan kepada anak mereka dan pengacau kebahagian suami isteri. Menjelang tahun 2020, seramai 2.2 juta bilangan warga emas (60 tahun dan ke atas) akan ada di negara ini. Malah, 11 pusat jagaan orang tua dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat dan puluhan pusat jagaan orang tua milik swasta akan terus bertambah.
Persoalannya mengapa?. Prof Dr. Rahim M. Sail selaku ketua penyelidik menyatakan desakan hidup yang memerlukan kewangan keluarga dikawal dengan baik, menyebabkan ibu-bapa pasti menjadi 'korban' yang perlu dilepaskan kepada pihak lain. Selain itu, golongan berjawatan tinggi serta mempunyai kemampuan kewangan juga turut terlibat.

Yang jelas, inilah harga sebuah kemajuan negara yang perlu dihadapi oleh semua pihak. Desakan kewangan untuk menampung kos kehidupan keluarga agak kritikal. Masing-masing sibuk memerah keringat mendapatkan sesuap nasi bagi keluarga. Keadaan ini amat perit terutama di bandar-bandar besar. Malah, ada di kalangan mereka yang tinggal merempat di lorong kedai di waktu malam hari dan bekerja di siang hari. Ia kerana gaji yang kecil tidak memungkinkan mereka mampu tinggal di rumah sewa yang semakin mahal. Bagi yang kaya pula, hanya mementingkan diri sendiri dan mengelak daripada bertanggungjawab kepada yang banyak berjasa kepada kita selama ini. Nilai, budaya serta pemikiran rakyat semakin berubah dan ditentukan oleh pasaran, industri serta situasi ekonomi negara.
Pada masa yang sama, mereka yang tinggal di rumah orang tua mengalami tekanan dan kesedihan melampau. Mengapa?kerana tiada anak atau cucu di sisi yang boleh menghiburkan jiwa yang lara. Maka, perasaan sunyi menjadi musuh utama mereka. Oleh itu, marilah kita terus berusaha menyumbang kepada arah mempupuk budaya penyayang di kalangan kita. Ambil berat kepada semua!. Ambil tahu dan berbuat sesuatu kepada orang lain. Jauhilah daripada sifat mementingkan diri yang semakin membarah di hati. Ia dapat dihapuskan melalui penyertaan dalam gerakan kesedaran, kempen yang terus meneruskan oleh pelbagai organisasi masyarakat yang terus mementingkan penghayatan nilai-nilai yang positif sampai bila-bila pun. Ia sudah pasti ada tunjang atau akarnya iaitu agama dan bukan harta benda.

Wednesday, September 23, 2009

Hari Malaysia : Makna? Buat Kita Semua


Hari Malaysia kini melangkau 46 tahun pada tahun ini. 16 September 1963 adalah tarikh keramat negara persekutuan ini terbentuk. Nama Malaysia muncul mengantikan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak mengukuhkan solidariti masyarakat yang pelbagai keturunan, agama serta bangsa. Masing-masing menaruh harapan negara bertuah ini akan menjanjikan kemajuana ekonomi, kesejahteraan sosial serta membentuk perpaduan nasional. Pelbagai isu, cabaran yang mewarnai di sepanjang usaha ini. Namun, sejarah tetap sejarah. Malaysia muncul dengan keupayaan yang tersendiri. Berdiri megah dengan kekuatan ekonomi, kemunculan pelbagai industri dan yang paling penting kelompok masyarakat yang semakin terdidik akibat peluang pendidikan yang disediakan selama ini.

Namun, adakah segala kemajuan yang dikecapi ini membolehkan generasi muda khususnya lebih memahami kepelbagaian bahasa, keturunan dan bangsa dan bergerak seiya sekata, sehati sejiwa. Yang pasti, Sabah dan Sarawak masih banyak berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Sama ada dari segi kemajuan infrastruktur, kemudahan serta tahap pendidikan. Mereka memerlukan sokongan dan dokongan semua. Sebagai anak muda, apakah yang kita boleh usahakan untuk memahami budaya Sabah dan Sarawak. Bahasa, budaya dan makanan adalah alat yang boleh menyatukan kita semua. Mungkin pesta makanan sabah dan sarawak boleh jadi permulaan. Atau, hari berbahasa etnik masyarakat sabah dan sarawak juga boleh dketengahkan.

Apa pun, masih ramai yang tidak mengerti makna Hari Malaysia ini. Ia adalah simbol perpaduan dan integrasi masyarakat Sabah dan Sarawak bersama-sama kita. Bersama-sama berusaha mengecap kemajuan, perpaduan serta jalinan silaturrahim yang manusiawi. Oleh itu, marilah kita berdoa agar Malaysia terus mekar, sejahtera dan memberikan kebaikan buat kita semua untuk tahun-tahun yang mendatang.

Friday, August 28, 2009

Semangat Kemerdekaan & Jiwa Merdeka : Dilema anak muda

Tanggal 31 Ogos 2009, genap 52 negara ini merasai udara kemerdekaan daripada penjajah asing. Saban tahun sambutan kemerdekaan diwarnai dengan kibaran jalung gemilang, perarakan kereta berhias, perbarisan, nyanyian serta persembahan kebudayaaan anjuran pemerintah. Konsert kemerdekaan juga sering ditampilkan buat anak-anak muda, sementara menanti detik 12 malam sebelum 31 Ogos setiap tahun. Namun, sambutan kemerdekaan kali ini agak berbeza. Ia disambut dalam suasana umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan ramadan yang mulia. Tiada konsert atau saat detik 12 malam yang saban tahun diadakan. Ia sebagai tanda menghormati sensitiviti umat Islam dan bulan yang mulia.

Apapun keaadaan yang ada, kemerdekaan sewajarnya memberikan makna. Makna buat anak muda tentu berbeza. Ia mungkin adalah tanda untuk bercuti, berehat, berjalan atau menghabiskan masa dengan mereka yang tersayang. Sering kali, kedengaran suara-suara nakal generasi dewasa atau tua menyindir anak muda tentang isu kemerdekaan ini. Pengorbanan generasi terdahulu terhadap menperjuangkan kemerdekaan negara ini hanya coretan sejarah semata-mata dikaca mata anak muda. Isu salah menyalahkan antara generasi tidak kemana. Yang tua kerap menyalahkan yang muda. Yang muda, buat hal sendiri. Ia akan terus berlaku, dari dulu, sekarang mahupun akan datang.

Yang jelas, persoalan utama, mendasar dan pokok yang lebih utama untuk difikirkan, dibincangkan ialah tahap jiwa merdeka masyarakat kita setelah 52 tahun negera ini merdeka. Adakah kita semua merdeka jiwanya daripada menjadi hamba kepada manusia, sistem atau suasana?. Islam unsur yang memerdekakan jiwa perlu diperkukuh, meluas dan mendasar di dalam kehidupan masyarakat. Apatah lagi ia unsur utama Dasar Kebudayaan Kebangsaan negara ini. Tetapi acapkali manusia lebih gemar menjadi hamba. Cara berfikir, budaya hidup, pemakanan serta citarasa seringkali tersasar. Dunia barat masih diagung-agungkan tanda aras kemajuan yang ingin dinikmati. Namun, ironinya, negara sedang bertungkus lumus mengejar usaha mencapai negara maju menjelang 2020 mengikut acuan yang tersendiri.

Yang pasti, kemajuan pemikiran melalui penguasaan Ilmu pengetahuan yang pelbagai, kompleks perlu mendapat tempat dihati kita. Budaya membaca, tradisi diskusi ilmu tentang isu-isu besar ketamadunan negara yang wajar diketengahkan. Teras-teras kenegaraan seperti pendidikan, kesejahteraan sosial, ekonomi yang maknawi serta adil, sistem politik yang menghormati keluhuran perlembagaan & undang adalah antara isu yang boleh digerakkan melalui wacana ilmiah awam yang 'mesra massa'. Yang ingin kita lihat,di mana-mana, manusia sibuk menbaca seperti sibuknya manusia pergi ke masjid, surau untuk solat terawih sempena ramadan ini. kedai-kedai buku diserbu oleh manusia yang dahagakan ilmu.

Oleh yang demikian, polemik isu sebatan yang ditangguhkan buat gadis yang telah minum arak tidak wajar diperbesarkan oleh sesiapa. Biarkan mahkamah syariah menjalankan tugasnya. Biarlah ia menjadi pengajaran buat yang bersalah. Banyak perkara lain yang jauh lebih bermakna yang boleh diperkatakan atau diusahakan. Selamat menyambut hari kemedekaan ke-52 buat semua.

Sunday, August 23, 2009

Ramadan Diraikan : Antara Kegilaan atau Kewarasan

Ramdhan kini kembali menjengah segenap kehidupan kita. Umat Islam berlumba-lumba menghadiri solat terawih dan meningkatkan amal ibadah. Masjid menjadi lebih meriah dan ceria daripada biasa, dengan kehadiran pelbagai jenis manusia. Di sana sini, bazar ramadhan sesak dengan manusia. Mencari juadah yang membuka selera. Ikan bakar, ayam golek dan beraneka jenis makanan muncul untuk pilihan kita semua. Manakala, di hotel pula sibuk dengan pelbagai promosi buffet berbuka puasa. Masing-masing menghidangkan menu yang lain daripada yang lain.

Namun, tatkala manusia menjadi 'gila makan' semasa Ramadhan. Beberapa perkara perlu difahami, diteliti agar kita terus berwaspada terutamanya hal berkaitan makanan. Berita akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2009 menyatakan sehingga Mei tahun ini hanya 27 hotel yang dapur utamanya diiktiraf halal oleh JAKIM daripada lebih 2,000 hotel di negara ini perlu diberikan perhatian serius. Hanya 1.4% daripada keseluruhan jumlah hotel yang mengikuti tuntutan syariah. Ia diburukkan lagi dengan adanya hotel bertaraf lima bintang yang tidak dilengkapi dengan bilik solat mahupun tandas tanpa paip. Ia jelas, terdapat pengusaha industri hotel yang tidak sensitif langsung terhadap keperluan agama majoriti penduduk negara ini. Apatah lagi, Islam merupakan agama rasmi negara ini. Persoalannya, mengapa ia boleh terjadi setelah lebih 52 tahun merdeka?Apakah aspek nilai-nilai Islam tidak dilayani sewajarnya di dalam lndustri perhotelan.

Maka, selain daripada penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasaa, sewajarnya, umat Islam peka dan berhati-hati apabila berbuka puasa di hotel. Kita wajar meneliti logo halal yang sah dipamerkan agar dapat menghilangkan segala prasangka. Sikap alpha tentang hal ini mengundang padah dan kesan buruk jangka panjang terhadap personaliti diri mahupun kesejahteraan keluarga.

Mahu tidak mahu, usaha berterusan mendidik masyarakat tentang aspek kepenggunaan yang sejajar dengan tuntutan agama wajar diteruskan bahkan dikembangkan oleh organisasi masyarakat madani di negara ini. Janganlah kerana kegilaan tentang makan mengaburkan kewarasan kita sebagai umat Islam yang tertakluk kepada tuntutan syariah setiap masa.

Thursday, August 13, 2009

Islamiphobia : Masih Menghantui Dunia Barat


Islamphobia adalah istilah yang mengambarkan persepsi negatif masyarakat Barat terhadap orang Islam. Ini jelas, apatah lagi Islam sering kali dikaitkan dengan keganasan yang sering dicetuskan oleh sebahagian kecil kelompok Islam yang ekstremis.

Kejadian letupan bom di Hotel Marriot, Jakarta baru-baru tidak banyak membantu mengubah persepsi yang salah ini. Kesannya, masyarakat Islam ada di merata pelusuk dunia, yang hidup aman damai bersama pelbagai masyarakat lain selama ini, menjadi mangsa diskriminasi dalam pelbagai cara.

Selain itu, hati saya tersentuh, fikiran tersentap dan hanya mampu mengelengkan kepala, tatkala, mata ini membaca berita bertarikh 14 Ogos 2009 di akhbar Berita Harian bertajuk "Tutup aurat tidak boleh masuk kolam". Ia adalah kisah diskriminasi masyarakat barat terhadap wanita Perancis yang memeluk Islam bernama Carole. Beliau hanya mahu mandi di kolam renang menutup aurat dengan 'Burqini'nya yang baru dibeli di Dubai, tetapi tidak dibenarkan. Awalnya, dibenarkan, kemudian, tidak dibenarkan. Alasan diberikan pihak pengurusan kolam ialah mereka perlu memastikan peraturan kebersihan kolam dipatuhi iaitu tiada pakaian di dalam kolam. Perbezaan gaya hidup, hak mengamalkan agama yang dianuti tidak dihormati sama sekali. Ironinya, mereka jugalah yang sering melaungkan hak individu yang perlu dipertahankan di merata dunia. Manusia hipokrit!.

Mungkin, mereka semakin takut dengan bayang-bayang sendiri. Islam semakin berkembang dengan rancaknya di dunia barat secara sukarela. Manusia mencari Tuhan yang sebenar untuk mengisi kekosongan jiwa yang semakin parah akibat kemajuan materi.

Yang jelas, generasi muda yang menjadi kelompok harapan negara, perlu menonjolkan imej Islam yang murni. Islam menbawa rahmat kepada seluruh pelusuk alam semesta dan isinya. Ini adalah cabaran kita dan perlu diusahakan oleh semua. Islam membina tamadun dan bukan menghancurkan. Marilah kita hidup aman damai, bersikap lapang dada terhadap kepelbagaian. Jamakbudaya perlu diraikan bukan diketepikan.