Sunday, August 23, 2009

Ramadan Diraikan : Antara Kegilaan atau Kewarasan

Ramdhan kini kembali menjengah segenap kehidupan kita. Umat Islam berlumba-lumba menghadiri solat terawih dan meningkatkan amal ibadah. Masjid menjadi lebih meriah dan ceria daripada biasa, dengan kehadiran pelbagai jenis manusia. Di sana sini, bazar ramadhan sesak dengan manusia. Mencari juadah yang membuka selera. Ikan bakar, ayam golek dan beraneka jenis makanan muncul untuk pilihan kita semua. Manakala, di hotel pula sibuk dengan pelbagai promosi buffet berbuka puasa. Masing-masing menghidangkan menu yang lain daripada yang lain.

Namun, tatkala manusia menjadi 'gila makan' semasa Ramadhan. Beberapa perkara perlu difahami, diteliti agar kita terus berwaspada terutamanya hal berkaitan makanan. Berita akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2009 menyatakan sehingga Mei tahun ini hanya 27 hotel yang dapur utamanya diiktiraf halal oleh JAKIM daripada lebih 2,000 hotel di negara ini perlu diberikan perhatian serius. Hanya 1.4% daripada keseluruhan jumlah hotel yang mengikuti tuntutan syariah. Ia diburukkan lagi dengan adanya hotel bertaraf lima bintang yang tidak dilengkapi dengan bilik solat mahupun tandas tanpa paip. Ia jelas, terdapat pengusaha industri hotel yang tidak sensitif langsung terhadap keperluan agama majoriti penduduk negara ini. Apatah lagi, Islam merupakan agama rasmi negara ini. Persoalannya, mengapa ia boleh terjadi setelah lebih 52 tahun merdeka?Apakah aspek nilai-nilai Islam tidak dilayani sewajarnya di dalam lndustri perhotelan.

Maka, selain daripada penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasaa, sewajarnya, umat Islam peka dan berhati-hati apabila berbuka puasa di hotel. Kita wajar meneliti logo halal yang sah dipamerkan agar dapat menghilangkan segala prasangka. Sikap alpha tentang hal ini mengundang padah dan kesan buruk jangka panjang terhadap personaliti diri mahupun kesejahteraan keluarga.

Mahu tidak mahu, usaha berterusan mendidik masyarakat tentang aspek kepenggunaan yang sejajar dengan tuntutan agama wajar diteruskan bahkan dikembangkan oleh organisasi masyarakat madani di negara ini. Janganlah kerana kegilaan tentang makan mengaburkan kewarasan kita sebagai umat Islam yang tertakluk kepada tuntutan syariah setiap masa.