Isu, Cabaran dan Masa Depan Graduan Psikologi Dalam Mendepani Cabaran Masyarakat Yang Kompleks


Tragedi kematian pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Othman kira-kira tujuh tahun lalu kembali hangat apabila mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM baru-baru ini. Kejadian ini menimbulkan kesedaran mendalam mengenai kepentingan intervensi kesihatan mental di institusi pendidikan.

Graduan psikologi berperanan penting dalam mengenal pasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan menyediakan sokongan kepada pelajar yang memerlukan. Mereka juga boleh membantu merancang dan melaksanakan program pencegahan dan kesedaran mengenai buli dan keganasan, serta menyediakan sokongan psikologi kepada mangsa dan pelaku keganasan.

Namun, realitinya graduan psikologi di Malaysia masih berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam usaha mencari dan mengekalkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian mereka. Walaupun kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental semakin meningkat, masih banyak halangan yang perlu diatasi bagi memastikan graduan psikologi dapat mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Kekurangan Peluang Pekerjaan

Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh graduan psikologi adalah kekurangan peluang pekerjaan yang khusus dalam bidang mereka. Data terkini dari Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan lebih daripada 3,000 pelajar telah menamatkan pengajian dalam bidang psikologi pada tahun 2022. Namun, banyak graduan terpaksa mencari pekerjaan dalam bidang yang tidak berkaitan untuk menyara hidup. Profesion psikologi di Malaysia masih belum mendapat pengiktirafan yang setara dengan profesion lain seperti perubatan, undang-undang dan sebagainya, menyebabkan kesukaran bagi graduan untuk mendapatkan status profesional yang diiktiraf.

Persaingan Tinggi dan Kurang Sokongan Institusi

Jumlah graduan psikologi yang meningkat setiap tahun juga menyebabkan persaingan sengit dalam pasaran kerja. Ini memaksa banyak graduan menerima pekerjaan dengan gaji rendah atau kontrak sementara. Selain itu, banyak institusi pendidikan tidak menyediakan sokongan mencukupi kepada graduan untuk membantu mereka dalam peralihan dari akademik ke dunia profesional. Ini termasuk program latihan industri dan bimbingan kerjaya yang sangat diperlukan agar graduan psikologi menjadi berdaya saing, kompetitif, dan siap siaga menawarkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Industri Utama Perlu Memanfaatkan Graduan Psikologi

Graduan psikologi memainkan peranan penting dalam pelbagai industri, termasuk kesihatan mental dan kaunseling, pendidikan, dan sumber manusia. Terdapat potensi besar dalam industri masa depan seperti teknologi dan psikologi digital, keselamatan siber dan psikologi forensik, serta kesihatan korporat. Di Malaysia, terdapat lebih daripada 20 universiti dan kolej yang menawarkan program dalam bidang psikologi, termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Sains Malaysia (USM). Ini menunjukkan bahawa ilmu, kemahiran dan khidmat psikologi amat kritikal untuk menghadapi cabaran kesihatan mental masyarakat yang semakin kompleks.

Beberapa Solusi yang Dicadangkan

Bagi mengatasi isu-isu dan cabaran ini, beberapa langkah perlu diambil. Pertamaya ialah dengn meningkatkan kesedaran dan pendidikan masyarakatn apa itu psikologi sebenar dan impaknya kepada sokongan kesihatan mental yang lebih baik . Kempen kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental perlu diperhebatkan melalui media, program sekolah, dan inisiatif kerajaan. Kesihatan mental kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat dan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Keduanya, dengan meningkatkan pengiktirafan professional daripada pembuat dasar negara dan pelbagai pemegang taruh. Langkah-langkah ini perlu diambil untuk mengiktiraf profesion psikologi sebagai profesion yang penting dan kritikal, ini termasuk mewujudkan badan pengiktirafan profesional yang setara dengan bidang perubatan dan undang-undang.

Ketiganya dengan memperluas peluang pekerjaan merentas pelbagai bidang, sektor sama ada agensi kerajaan, syarikat korporat, swasta, badan bukan kerajaan dan sebagainya.  Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang psikologi, termasuk membuka lebih banyak pusat kesihatan mental mahupun psikologi dan menyediakan perkhidmatan psikologi di sekolah, institusi masyarakat dan tempat kerja.

Keempat ialah dengan menyediakan sokongan Institusi yang lebih kukuh. Institusi pendidikan perlu menyediakan sokongan yang lebih baik kepada pelajar dan graduan psikologi, termasuk program latihan industri, bimbingan kerjaya, dan peluang jaringan profesional. Ia penting agar modal insan yang terlatih ini dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada klien, masyarakat pada masa akan datang.

Kelima, mempermudah proses lesen dan peraturan yang berkaitan bidang psikologi, Proses mendapatkan lesen profesional psikologi perlu dipermudah tanpa mengorbankan kualiti dan standard, termasuk mempercepatkan proses permohonan dan menyediakan lebih banyak maklumat dan sokongan kepada graduan psikologi.

Oleh itu, sudah sampai masanya, Akta Psikologi Nasional digubal segera agar dapat memayungi pelbagai aspek keperluan psikologi individu dan masyarakat di rumah, sekolah, universiti, kolej, tempat kerja dan sebagainya dengan ekosistem lestari yang melibatkan partisipasi bukan sahaja pembuat dasar negara melalui pembentangan di parlimen tetapi juga pelaksanaan di peringkat masyarakat seperti badan bukan kerajaan seperti Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) melalui latihan, peningkatan ilmu pengetahuan dan penyelidikan dengan kerjasama IPT dan syarikat.

Informasi tentang PSIMA

Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) ialah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (PPM-002-10-24031988). Semua rakyat Malaysia ingin memberikan sumbangan yang signifikan dan positif kepada negara kita. Di PSIMA, kami ingin membantu Malaysia membangun dengan cara yang memperkayakan kehidupan semua orang dan menyatukan masyarakatnya yang pelbagai.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.psima.org.my/

 

Comments

Popular posts from this blog

Pusat Kerjaya IPT perlu diperkasa, berikan lonjak baru, impak bermakna

Dilema Siswazah Masa Kini? : Pengangguran! Jalan Keluar?

Bimbingan Kerjaya Komuniti Perlu Digerakkan Bersama