Ibu Bapa Tinggal di Pusat Jagaan bukan di rumah?
Tatkala meneliti muka hadapan surat khabar kosmo hari ini bertarikh 14 ogos 2010, ia benar-benar mengusik jiwa dan mengerakkan minda ini untuk spontan memberikan pandangan. Ia isu yang serius dan memerlukan usaha-usaha bersama menanganinya. Kajian yang dijalankan oleh Institusi Kajian Sosial, UPM menunjukkan bahawa, ibu bapa kini dilihat sebagai beban kewangan kepada anak mereka dan pengacau kebahagian suami isteri. Menjelang tahun 2020, seramai 2.2 juta bilangan warga emas (60 tahun dan ke atas) akan ada di negara ini. Malah, 11 pusat jagaan orang tua dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat dan puluhan pusat jagaan orang tua milik swasta akan terus bertambah.
Persoalannya mengapa?. Prof Dr. Rahim M. Sail selaku ketua penyelidik menyatakan desakan hidup yang memerlukan kewangan keluarga dikawal dengan baik, menyebabkan ibu-bapa pasti menjadi 'korban' yang perlu dilepaskan kepada pihak lain. Selain itu, golongan berjawatan tinggi serta mempunyai kemampuan kewangan juga turut terlibat.
Yang jelas, inilah harga sebuah kemajuan negara yang perlu dihadapi oleh semua pihak. Desakan kewangan untuk menampung kos kehidupan keluarga agak kritikal. Masing-masing sibuk memerah keringat mendapatkan sesuap nasi bagi keluarga. Keadaan ini amat perit terutama di bandar-bandar besar. Malah, ada di kalangan mereka yang tinggal merempat di lorong kedai di waktu malam hari dan bekerja di siang hari. Ia kerana gaji yang kecil tidak memungkinkan mereka mampu tinggal di rumah sewa yang semakin mahal. Bagi yang kaya pula, hanya mementingkan diri sendiri dan mengelak daripada bertanggungjawab kepada yang banyak berjasa kepada kita selama ini. Nilai, budaya serta pemikiran rakyat semakin berubah dan ditentukan oleh pasaran, industri serta situasi ekonomi negara.
Pada masa yang sama, mereka yang tinggal di rumah orang tua mengalami tekanan dan kesedihan melampau. Mengapa?kerana tiada anak atau cucu di sisi yang boleh menghiburkan jiwa yang lara. Maka, perasaan sunyi menjadi musuh utama mereka. Oleh itu, marilah kita terus berusaha menyumbang kepada arah mempupuk budaya penyayang di kalangan kita. Ambil berat kepada semua!. Ambil tahu dan berbuat sesuatu kepada orang lain. Jauhilah daripada sifat mementingkan diri yang semakin membarah di hati. Ia dapat dihapuskan melalui penyertaan dalam gerakan kesedaran, kempen yang terus meneruskan oleh pelbagai organisasi masyarakat yang terus mementingkan penghayatan nilai-nilai yang positif sampai bila-bila pun. Ia sudah pasti ada tunjang atau akarnya iaitu agama dan bukan harta benda.
Comments
Post a Comment