Wednesday, September 23, 2009

Hari Malaysia : Makna? Buat Kita Semua


Hari Malaysia kini melangkau 46 tahun pada tahun ini. 16 September 1963 adalah tarikh keramat negara persekutuan ini terbentuk. Nama Malaysia muncul mengantikan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak mengukuhkan solidariti masyarakat yang pelbagai keturunan, agama serta bangsa. Masing-masing menaruh harapan negara bertuah ini akan menjanjikan kemajuana ekonomi, kesejahteraan sosial serta membentuk perpaduan nasional. Pelbagai isu, cabaran yang mewarnai di sepanjang usaha ini. Namun, sejarah tetap sejarah. Malaysia muncul dengan keupayaan yang tersendiri. Berdiri megah dengan kekuatan ekonomi, kemunculan pelbagai industri dan yang paling penting kelompok masyarakat yang semakin terdidik akibat peluang pendidikan yang disediakan selama ini.

Namun, adakah segala kemajuan yang dikecapi ini membolehkan generasi muda khususnya lebih memahami kepelbagaian bahasa, keturunan dan bangsa dan bergerak seiya sekata, sehati sejiwa. Yang pasti, Sabah dan Sarawak masih banyak berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Sama ada dari segi kemajuan infrastruktur, kemudahan serta tahap pendidikan. Mereka memerlukan sokongan dan dokongan semua. Sebagai anak muda, apakah yang kita boleh usahakan untuk memahami budaya Sabah dan Sarawak. Bahasa, budaya dan makanan adalah alat yang boleh menyatukan kita semua. Mungkin pesta makanan sabah dan sarawak boleh jadi permulaan. Atau, hari berbahasa etnik masyarakat sabah dan sarawak juga boleh dketengahkan.

Apa pun, masih ramai yang tidak mengerti makna Hari Malaysia ini. Ia adalah simbol perpaduan dan integrasi masyarakat Sabah dan Sarawak bersama-sama kita. Bersama-sama berusaha mengecap kemajuan, perpaduan serta jalinan silaturrahim yang manusiawi. Oleh itu, marilah kita berdoa agar Malaysia terus mekar, sejahtera dan memberikan kebaikan buat kita semua untuk tahun-tahun yang mendatang.

No comments:

Post a Comment