Semangat Kemerdekaan & Jiwa Merdeka : Dilema anak muda
Tanggal 31 Ogos 2009, genap 52 negara ini merasai udara kemerdekaan daripada penjajah asing. Saban tahun sambutan kemerdekaan diwarnai dengan kibaran jalung gemilang, perarakan kereta berhias, perbarisan, nyanyian serta persembahan kebudayaaan anjuran pemerintah. Konsert kemerdekaan juga sering ditampilkan buat anak-anak muda, sementara menanti detik 12 malam sebelum 31 Ogos setiap tahun. Namun, sambutan kemerdekaan kali ini agak berbeza. Ia disambut dalam suasana umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan ramadan yang mulia. Tiada konsert atau saat detik 12 malam yang saban tahun diadakan. Ia sebagai tanda menghormati sensitiviti umat Islam dan bulan yang mulia.
Apapun keaadaan yang ada, kemerdekaan sewajarnya memberikan makna. Makna buat anak muda tentu berbeza. Ia mungkin adalah tanda untuk bercuti, berehat, berjalan atau menghabiskan masa dengan mereka yang tersayang. Sering kali, kedengaran suara-suara nakal generasi dewasa atau tua menyindir anak muda tentang isu kemerdekaan ini. Pengorbanan generasi terdahulu terhadap menperjuangkan kemerdekaan negara ini hanya coretan sejarah semata-mata dikaca mata anak muda. Isu salah menyalahkan antara generasi tidak kemana. Yang tua kerap menyalahkan yang muda. Yang muda, buat hal sendiri. Ia akan terus berlaku, dari dulu, sekarang mahupun akan datang.
Yang jelas, persoalan utama, mendasar dan pokok yang lebih utama untuk difikirkan, dibincangkan ialah tahap jiwa merdeka masyarakat kita setelah 52 tahun negera ini merdeka. Adakah kita semua merdeka jiwanya daripada menjadi hamba kepada manusia, sistem atau suasana?. Islam unsur yang memerdekakan jiwa perlu diperkukuh, meluas dan mendasar di dalam kehidupan masyarakat. Apatah lagi ia unsur utama Dasar Kebudayaan Kebangsaan negara ini. Tetapi acapkali manusia lebih gemar menjadi hamba. Cara berfikir, budaya hidup, pemakanan serta citarasa seringkali tersasar. Dunia barat masih diagung-agungkan tanda aras kemajuan yang ingin dinikmati. Namun, ironinya, negara sedang bertungkus lumus mengejar usaha mencapai negara maju menjelang 2020 mengikut acuan yang tersendiri.
Yang pasti, kemajuan pemikiran melalui penguasaan Ilmu pengetahuan yang pelbagai, kompleks perlu mendapat tempat dihati kita. Budaya membaca, tradisi diskusi ilmu tentang isu-isu besar ketamadunan negara yang wajar diketengahkan. Teras-teras kenegaraan seperti pendidikan, kesejahteraan sosial, ekonomi yang maknawi serta adil, sistem politik yang menghormati keluhuran perlembagaan & undang adalah antara isu yang boleh digerakkan melalui wacana ilmiah awam yang 'mesra massa'. Yang ingin kita lihat,di mana-mana, manusia sibuk menbaca seperti sibuknya manusia pergi ke masjid, surau untuk solat terawih sempena ramadan ini. kedai-kedai buku diserbu oleh manusia yang dahagakan ilmu.
Oleh yang demikian, polemik isu sebatan yang ditangguhkan buat gadis yang telah minum arak tidak wajar diperbesarkan oleh sesiapa. Biarkan mahkamah syariah menjalankan tugasnya. Biarlah ia menjadi pengajaran buat yang bersalah. Banyak perkara lain yang jauh lebih bermakna yang boleh diperkatakan atau diusahakan. Selamat menyambut hari kemedekaan ke-52 buat semua.
Comments
Post a Comment